The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS14: Selangor FC vs Negeri Sembilan FC | Bangkit Semula!

Jul 31, 2022 - FAS

Selangor FC akan menerima kunjungan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi meneruskan perjuangan minggu ke-14 Liga Super 2022 di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada jam 9 malam.

Malam ini akan menjadi aksi ke-100 pertemuan antara Gergasi Merah dan The Jangs. Daripada 99 perlawanan, Selangor FC telah menewaskan NSFC dalam 61 perlawanan. 

Menurut Ketua Jurulatih pasukan, Michael Feichtenbeiner, beliau mahu pemain terus memandang ke depan daripada perlawanan yang lalu dan berjuang dengan sehabis baik pada malam ini.

“Kita perlu akui dan menerima dengan lapang dada akan kekalahan perlawanan lalu. Kita dihukum kerana tidak mampu menghasilkan jaringan. Perkara seperti ini sentiasa berlaku dalam kancah bola sepak.

“Walau bagaimanapun, para pemain perlu bangkit dan dapatkan kemenangan pada malam ini dengan menyudahkan setiap peluang de­ngan lebih baik,” katanya.

Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih belum berkesempatan menggunakan khidmat R. Dinesh yang berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) dan Safuwan Baharudin akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.

Selain itu, Shahrel Fikri juga tidak dapat bersama pasukan pada malam ini atas faktor kecederaan di bahagian hamstring yang dialami baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, para penyokong Gergasi Merah boleh bersorak gembira dengan kembalinya Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal bersama pasukan setelah digantung dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC daripada kad merah dan tiga kad kuning.

Selangor FC berharap pasukan akan bangkit dan terus memandang ke hadapan. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!